Dua lelaki warga asing bersama 800 kilogram ikan bilis kering ditahan

π—¦π—”π—‘π——π—”π—žπ—”π—‘ : Dua lelaki warga asing ditahan dipercayai cuba menyeludup 13 guni berisi ikan bilis kering seberat 800 kilogram untuk dipasarkan ke Pulau Taganak, Filipina.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, suspek bertindak sebagai tekong serta awak-awak berumur antara 35 dan 56 tahun ditahan bersama sebuah vesel di kedudukan 5.2 batu nautika timur laut Tanjung Pamaguan menuju ke Pulau Taganak.

Katanya, ikan bilis kering dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran namun berjaya digagalkan Maritim Malaysia Zon Maritim Sandakan.

β€œNilai rampasan termasuk ikan bilis kering, enjin sangkut serta vesel ini dianggarkan berjumlah lebih RM48,000.

β€œKes ini akan disiasat di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia kerana membawa keluar ikan bilis kering untuk tujuan eksport tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Suhairy berkata, kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.

β€œOrang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon MaritimΒ  Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera,” jelas Muhamad Suhairy.