KOTA KINABALU: Taman Ujana Rimba Tropika serta Taman Tun Fuad Stephens kembali beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 6 petang bermula esok (Selasa).
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, bagaimanapun jumlah dihadkan untuk 50 orang bagi setiap dua jam selaras dengan peralihan Sabah memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, aktiviti yang dibenarkan termasuk joging, tai chi, yoga serta senamrobik dengan tidak melebihi 10 orang dalam satu masa.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membenarkan dua taman awam ini beroperasi esok dengan memerlukan orang ramai sentiasa mematuhi Prosuder Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam PPN,” katanya dalam kenyataan hari ini disiarkan dalam Laman Rasmi Facebook DBKK hari ini.
Noorliza berkata, bagi Taman rekreasi yang dikendalikan pihak swasta termasuk Perdana Park Tanjung Aru masih tertakluk kepada pengurusan masing-masing.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai operasi taman awam boleh menghubungi Jabatan Landskap DBKK di talian 088-244000 (sambungan 619).