KOTA KINABALU: Terdapat dua kematian disebabkan Covid-19 dicatatkan hari ini masing-masing di Lahad Datu dan Papar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 298 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,611 kes.
“Antara penyumbang kepada catatan kes di Sabah pada hari ini ialah Saringan Kluster Sedia Ada, yang telah merekodkan sebanyak 94 kes iaitu 31.5 % dari kumulatif kes harian, dengan pecahan Kluster Kayu Patikang sebanyak 37 kes, Kluster Serudung Baru (21), Kluster Siasai Dundau (11), Kluster KKIP Empat Timur (11), Kluster Tanjung Pitas tujuh
kes, Kluster Lumadan lima kes, Kluster Bahtera Barat satu kes dan Kluster
Limbawang satu kes.
“Selain itu, jumlah catatan kes positif pada hari ini juga dipengaruhi oleh angka yang
berpunca dari Saringan Kontak Rapat sebanyak 115 kes atau 38.5 % daripada kumulatif kes harian di Sabah,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya, Saringan Kluster dan Saringan Kontak Rapat menyumbang kepada 70% daripada kumulatif harian kes yang dicatatkan pada hari ini.
Sementara itu katanya, terdapat peningkatan jumlah daerah Zon Hijau iaitu daripada dua kepada tiga daerah iaitu Beluran, Telupid dan Tenom namun, dengan jumlah catatan sebanyak 115 kes daripada Saringan Kontak Rapat.
“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan,” katanya.
Oleh itu katanya, orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.