LABUAN: Hasil daripada pemeriksaan yang berterusan oleh pihak Perbadanan Labuan didapati jumlah premis perniagaan makanan yang mendapat Gred A di pulau ini telah meningkat sebanyak 58.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, secara tidak langsung sitausi ini telah memberi impak yang positif dari segi kepuasan bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga kepada peniaga itu sendiri yang menitik beratkan kebersihan premis makanan masing masing.
“Selain itu jumlah premis yang mendapat Gred B juga telah menurun sebanyak 77 buah berbanding tahun sebelumnya sebanyak 87 premis sekaligus menunjukkan penurunan sebanyak 6.9 peratus dan ini disebabkan usaha dan komitmen premis yang telah meningkatkan tahap kebersihan premis hingga mendapat Gred A,” katanya,
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kebersihan Premis Makanan Tahun 2023 di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rithuan berkata tiada lagi premis makanan yang mendapat Gred C sekaligus usaha yang dimainkan oleh pengusaha makanan di pulau ini telah memberi imej positif kepada Labuan.
Beliau menjelaskan bermula tahun 2024, Perbadanan Labuan telah membuat ketetapan setiap tandas di premis restoran dan kedai kopi perlu mencapai taraf 2 bintang ke atas sebelum lesen perniagaan mereka di perbaharui.
“Peraturan ini digubal tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keselesaan pelanggan, pengunjung dan pelancong serta untuk mewujudkan satu suasana yang bersih dan sihat di Labuan,” katanya.
Rithuan berkata kebersihan tandas bukan sahaja merupakan imej penting sesebuah premis makanan tetapi juga menjadi tanggungjawab kepada semua pengusaha untuk menjaga kebersihan setiap tandas yang terdapat dalam premis makanan.