KOTA KINABALU : Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Mustapha Sakmud meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan setiap rakyat Sabah yang layak dapat menunaikan hak mereka tanpa halangan kewangan atau logistik.
“Hak mengundi adalah asas demokrasi, namun ramai rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan luar negara menghadapi kesukaran untuk pulang bagi menunaikan tanggungjawab ini.
“Kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik terus menjadi penghalang utama kepada penyertaan mereka dalam pilihan
raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, sehingga Disember 2024, Sabah mempunyai 1.69 juta pengundi berdaftar, dengan lebih 55 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun.
“Kita yakin pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik, lebih ramai rakyat Sabah kini layak mengundi.
“Ramai yang mungkin terpaksa melepaskan hak mereka untuk mengundi kerana kos perjalanan yang membebankan terutamanya ribuan mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di universiti dan kolej di seluruh negara,” jelas Mustapha.
Menurutnya, generasi muda ini terutama golongan mahasiswa perlu diberi peluang dalam menentukan pimpinan dan halatuju negeri ini mengikut perspektif dan citarasa anak muda.
“Sebagai generasi pelapis, sewajarnya pandangan mereka perlu direalisasikan dalam peti undi.
“Namun, disebabkan jadual akademik yang padat serta beban kewangan yang tinggi, ramai dalam kalangan mereka tidak mampu untuk pulang ke Sabah semata-mata untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata, harga tiket penerbangan yang tinggi terus menjadi kebimbangan rakyat Sabah, terutamanya ketika musim pilihan raya dan perayaan utama.
“Pada Oktober 2024, laporan menunjukkan tambang penerbangan antara Sabah dan Semenanjung boleh mencecah sehingga RM1,700.
“Walaupun kerajaan mengambil beberapa langkah untuk menangani isu ini seperti memperkenalkan subsidi untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala yang melebihi RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan semasa musim perayaan.
“Penyelesaian jangka panjang masih diperlukan agar rakyat Sabah tidak terbeban untuk pulang mengundi,” jelasnya.