KUALA LUMPUR: Bersatu mengingatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa sokongan terhadapnya adalah bersyarat dan perkara itu akan dibawa dalam majlis ceramah pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan, berkata Bersatu yang mencalonkan Ismail sebagai Perdana Menteri dan bukannya Umno.
“Kita kena ingat Ismail menjadi Perdana Menteri hari ini bukan dicalonkan Umno. Bukan Umno calonkan dia.
“Kalau Umno silap-silap dia nak Zahid Hamidi (Presiden Umno jadi Perdana Menteri). Nak Zahid. Pening kepala nak jawab tetapi itulah hakikatnya,” katanya.
Memetik laporan FMT online Beliau berkata dalam kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang disiarkan secara langsung di Facebook Penerangan Bersatu.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu adalah contoh terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Tak pernah ada jumlah dana banyak diperuntukkan untuk membantu rakyat dalam sejarah negara. Tetapi Muhiyddin buat, itu yang kita nak Ismail teruskan,” katanya.
Wan Saiful berkata, Ismail mungkin mahu meneruskan kecemerlangan Muhyiddin dalam memerintah negara, tetapi mendakwa mungkin ‘kluster mahkamah’ Umno tidak peduli.
“Apa dia buat, fokus kepada nak selamatkan diri, fokus kepada nak bolot kuasa dan fokus kepada jatuhkan semua orang lain termasuk yang bawa dia naik, sebab itu jadi pengajaran kepada kita,” katanya.