SIPITANG: Tiada tanda-tanda usaha berganda pihak kerajaan serta kontraktor untuk meningkatkan prestasi kerja menaiktaraf Jalan Beaufort-Sipitang ketika menerima kunjungan Yang DiPertuan Agong pada 07 September ini.
Ketua Penerangan UMNO Sipitang, Zulhaimi Asbi berkata pihak kontraktor dilihat bersikap sambil lewa seolah-olah tidak ada kerisauan berhubung kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Prestasi kerja kontraktor hanya berada pada tahap sederhana serta tiada usaha untuk melipatgandakan perkhidmatan sehingga mencapai tahap prestasi yang membanggakan.
“Pihak kerajaan kelihatan kurang memantau kerja-kerja menaiktaraf projek Pan Borneo ini sejak sekian lamanya sehingga menyebabkan ia menjadi bahan jenaka di laman media sosial,” katanya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan Sabah News Today hari ini berkaitan prestasi kerja-kerja pan borneo di laluan Beaufort-Sipitang.
Zulhaimi berkata, terdapat sebahagian laluan ini masih belum dapat dinaiktaraf sepenuhnya sekali gus dilihat tersasar mengikut jadual asalnya.
Sebelum ini pernah beberapa media melaporkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) berupaya menawarkan 20,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitanya.
“ Hampir RM19.6 bilion nilai pelaburan di kawasan berkenaan diumumkan oleh Ketua Menteri, ini kononnya dilihat mampu melonjakkan kadar pertumbuhan ekonomi daerah Sipitang.
“Kita juga ada mendengar pengumuman wujudnya pertambahan Projek Keluli Hijau Bersepadu (Integrated Green Steel) (ESTEEL Sabah) yang ditandatangani November tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, namun apa realitinya keadaan infrastruktur jalan raya yang ada ketika ini sudah tentu akan menjejaskan segala perancangan sedia ada.
“Pengguna tiada pilihan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada laluan Pan Borneo ini meskipun berhadapan pelbagai masalah berhubung
kerosakan kenderaan yang dihadapi pengguna jalan raya seperti tayar pecah dan rim bengkok hatta berlaku kemalangan ketika melalui jalan itu.
Apabila hujan, keadaan jalan berlumpur dan kalau cuaca kering memang berhabuk tebal. Pada waktu malam pula bahaya sebab tiada lampu amaran dengan keadaan jalan yang berlubang,” katanya, di sini, hari ini.
“Sampai bila penduduk Sipitang berhadapan dengan keadaan ini sedangkan di kawasan lain mereka dapat menikmati kemudahan jalan raya yang baik,” katanya.