KOTA KINABALU: Adakah kunjungan diraja diperlukan untuk kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengendalikan isu lama mengenai jalan raya yang rosak di seluruh negeri ini.
Ketua Penerangan Warisan Bahagian Kota Kinabalu, Samuel Wong berkata keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah dan Sarawak untuk jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ adalah satu momen bersejarah yang telah menimbulkan banyak keghairahan di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak.
“Sementara kita menyambut kunjungan ini, ia juga memberikan peluang untuk membincangkan keadaan infrastruktur Sabah dan peranan kunjungan sebegini dalam penyelenggaraannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau merujuk banyak video viral yang beredar di media sosial, menunjukkan kerja-kerja membaik pulih jalan di sepanjang laluan lawatan hanya beberapa minggu sebelum lawatan Yang di-Pertuan Agong bermula.
Video-video ini telah membuatkan penduduk terperanjat, kerana mereka sebelum ini terpaksa menanggung keadaan buruk jalan-jalan ini selama bertahun-tahun.
Samuel berkata Kerisauan ini meluas ke luar laluan lawatan bahawa terdapat banyak kawasan lain di Sabah yang mengalami masalah jalan yang teruk yang tidak termasuk dalam jadual laluan jelajah.
“Adakah kerajaan GRS akan mengambil tindakan segera yang sama di kawasan-kawasan tersebut. Adalah menyedihkan bahawa aduan rakyat tentang keadaan jalan raya yang buruk ini telah diabaikan selama bertahun-tahun.
“Penduduk Sabah telah menanggung kekurangan infrastruktur yang baik, termasuk isu berkaitan air, elektrik, dan jalan raya.Penduduk Sabah tidak sepatutnya dieksploitasi, dan penderitaan mereka harus diatasi dengan serius.” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata parti itu mengucapkam semoga Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong beserta rombongan dan semua peserta acara ini menjalani lawatan yang selamat dan menikmati keindahan semulajadi Sabah sepenuhnya.