Dua inisiatif baharu bantu rakyat kurang mampu dan ditimpa bencana di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan dua lagi inisiatif baharu untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan ditimpa bencana alam bagi meringankan beban yang ditanggung mereka sejajar usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata inisiatif baharu membantu golongan kurang berkemampuan, iaitu Program Santuni Komuniti bertujuan meningkatkan penghasilan dan penjualan produk usahawan ibu tunggal serta wanita B40.

Katanya, bagi mereka yang ditimpa bencana alam, kerajaan akan melaksanakan inisiatif pengagihan Produk Pek Makanan Segera ketika mangsa ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara.

Beliau berkata, selaras dengan hala tuju untuk membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan perkhidmatan yang cemerlang, Kerajaan Negeri kekal komited meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya pelbagai inisiatif dan program yang menjadi ‘flagships’ di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan sebelum ini diteruskan pada tahun ini.

Menurutnya selain dua pendekatan baharu itu, beberapa program yang diteruskan pada tahun ini antaranya Program Homeward untuk menyantuni rakyat dalam kategori sakit terlantar.

“Selain itu, Program Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan Pra- Sekolah dan Tadika juga diteruskan.

“Kita juga meneruskan Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40,” katanya sempena Majlis Makan Malam Amal Sinar Madani SMJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.

Sementara itu, Hajiji menggesa sektor korporat dan orang perseorangan yang berkemampuan agar terus menyokong majlis amal seumpama itu bagi membantu golongan berkeperluan terutamanya di pedalaman dan luar bandar.

“Kalau bukan kita yang menjalankan kerja-kerja kebajikan siapa lagi yang akan membantu mereka. Inilah sikap Sabah Madani yang harus kita tanam sebagai benih prinsip hidup kita di Sabah,” kata Hajiji