SMJSB lancar Sukuk Wakalah RM900 juta dengan bidaan 3.9 kali ganda kepada RM3.5 bilion

KOTA KINABALU: Syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Negeri, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) berjaya melancarkan Sukuk Wakalah sulung bernilai RM900 juta daripada RM10 bilion program Wakalah Sukuk Pelbagai Matawang dengan Penarafan AAA pada awal minggu ini.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pengeluaran sukuk yang julung kali dilakukan SMJSB itu menerima permintaan melebihi 3.9 kali ganda kepada RM3.5 bilion daripada pelbagai kumpulan pelabur di negara ini.

majlis menandatangani pengeluaran sukuk berkenaan di antara SMJSB dan AIBB, yang disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Katanya, pengeluaran sukuk berkenaan disokong AmInvestment Bank Berhad (AIBB) selaku Pengatur Utama dan Penasihat Prinsipal bersama Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

“Ia menggambarkan keyakinan pelabur terhadap SMJSB dan sokongan kuat kerajaan Sabah terhadap syarikat ini,” katanya pada majlis menandatangani pengeluaran sukuk berkenaan di antara SMJSB dan AIBB, yang disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

SMJSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Dionysia Kibat, manakala AIBB diwakili Ketua Pasaran Hutangnya Yeoh Teik Leng.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong, Penasihat Teknikal Kerajaan Sabah yang juga Penasihat Khas SMJSB Datuk Lim Haw Kuang dan Ketua Pegawai Eksekutif AIBB Tracy Chen.

Masidi menyifatkan pengeluaran sukuk berkenaan sebagai satu pencapaian yang signifikan kepada SMJSB kerana membolehkan nilai syarikat milik penuh kerajaan negeri itu terus meningkat daripada modal asal RM50 juta ketika ditubuhkan pada 2021 kepada RM2.3 bilion ketika ini

Jelasnya, masih banyak potensi yang belum dibangunkan sepenuhnya berkaitan sumber minyak dan gas di Sabah yang boleh dimanfaatkan SMJSB menerusi pelaburan yang diterimanya.

“Dengan bantuan SMJSB, kerajaan negeri akan mendapat perkongsian hasil yang lebih besar selain penyertaan yang meluas dalam pembangunan minyak dan gas di negeri ini,” katanya.

Sehingga ke hari ini, SMJSB memiliki 50 peratus pemilikan di Samarang PSC dan menjual jualan pertama minyak mentahnya kepada Shell International Eastern Trading Company pada Jun lalu selain 25 peratus perkongsian di Loji Petrokimia Sabah Ammonia Urea yang diusahakan PETRONAS.

Syarikat itu juga dalam usaha untuk mendapatkan Sabah International Petroleum Sdn Bhd yang memegang 10 peratus pemilikan di PETRONAS LNG9 Sdn Bhd yang beroperasi di Loji LNG di Kompleks LNG Bintulu, Sarawak.

SMJSB ditubuhkan selepas Kerajaan Sabah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada Disember 2021 yang memberi lebih banyak peluang kepada Sabah untuk terbabit dalam penerokaan industri minyak dan gas di negeri ini.