KOTA KINABALU: Penglibatan pelajar dalam aktiviti ‘Pertandingan Sepanduk’ mampu memupuk semangat cinta serta perasaan kasih kepada agama dan negara.
Guru Besar SK Likas Kota Kinabalu, Budhi Rahmad Suparno berkata, aktiviti ini sangat jarang dianjurkan di peringkat sekolah namun usaha ini dilihat sebagai petanda baik dalam mendidik mereka mencintai agama bermula di peringkat awal.
Katanya, usaha perlu diberi pujian serta dijadikan acara tahunan bagi memastikan aktiviti mengimarahkan program keagamaan dapat diteruskan dianjurkan pada masa depan.
“Kita perlu beri pujian kepada semua yang terlibat…Aktiviti Pertandingan sepanduk ini melibatkan murid-murid Tahun Empat hingga Enam manakala perarakkan sepanduk pulak bagi murid Tahap Satu dan dua.
“Komitmen ditunjukkan merupakan antara titik permulaan perubahan serta penghijrahan dalam diri ke arah lebih baik disamping memastikan mereka dapat mengaplikasikan dalam pembelajaran mereka nanti.
“Ini secara tidak langsung dapat menggalakan mereka agar mengenal sahsiah tanpa putus asa supaya dapat memperolehi kecemerlangan bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sekolah dengan Kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Likas Kota Kinabalu, di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Suffian Jasimani,
Budhi berkata, program sehari itu memperlihatkan kerjasama yang sangat erat dalam kalangan ibu bapa dan guru disamping menggalakan pelajar berminat mengikuti program berbentuk keagamaan pada masa depan.
“Kerjasama ini juga bukan hanya terhad kepada guru agama malah juga melibatkan guru akademik lain tanpa mengira bangsa serta agama bagi memastikan program ini memberi impak berkesan kepada pelajar di masa depan,” katanya.
Pada majlis itu dua guru diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat SK Likas Kota Kinabalu.