Sidang DUN Sabah: Status hak-hak MA63 masih dalam proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan dibawah Majlis Tindakan – Nizam

KOTA KINABALU : Status pelaksanaan mengenai Hak-Hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri manakala proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan ini melalui beberapa peringkat melibatkan aspek perundangan, pentadbiran kewangan, struktur organisasi dan perkara-perkara lain.

Menurutnya, status perkara yang dituntut di bawah MA63 telah selesai dan dilaksanakan dalam Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2).

“Selain itu, pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Penyerahan kuasa ke atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah, serta penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas serta Pengiktirafan JKR Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182,” katanya pada jawapan lisan soalan (Datuk Dr Yusof Yacob – Sindumin) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Nizam berkata, selain itu pelantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 3 Januari 2024.

“Kerajaan negeri masih meneruskan perbincangan pelaksanaan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Pendirian Kerajaan negeri masih sama iaitu jumlah pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah,” jelas Nizam.