KOTA KINABALU : Baki hutang Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) daripada Sabah Development Bank (SD Bank) berjumlah RM2.2 billion setakat suku tahun ke-3 tahun 2023.
Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun berkata, RM1.2 billion merupakan baki hutang Sabah International Petroleum (SIP).
Menurutnya selepas pengambilalihan SIP oleh SMJ 1 Energy Sdn. Bhd. (yang dahulu dikenali SMJ Sdn. Bhd.) sebanyak RM700 juta telah diselesaikan dalam fasa pertama.
Katanya, merujuk kepada hutang yang tidak berbayar oleh GLC, hutang ini merupakan baki pinjaman anak syarikat Kerajaan Negeri daripada SD Bank yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman dan akhirnya tidak mampu beroperasi.
“Oleh itu, kegagalan GLC ini untuk membayar balik pinjaman merupakan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan SD Bank terus kekal relevan melalui penstrukturan semula yang komprehensif.
“Antara usaha yang dilaksanakan untuk mengukuhkan tadbir urus syarikat adalah melalui pemilikan penuh SD Bank di bawah Chief Minister (Incorporation) Ordinance dan pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan baharu yang professional bagi memantapkan struktur dan pengurusan SD Bank,” katanya.
Beliau berkata demikian pada jawapan lisan soalan (Datuk Seri Mohd Shafie Afdal – Senallang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Masidi berkata, sekiranya penstrukturan semula SD Bank ini tidak dilaksanakan dan mengakibatkan SD Bank gagal beroperasi, keadaan ini akan memberi kesan buruk kepada kedudukan dan kredibiliti Negeri Sabah.
“Hapus kira hutang ini adalah selaras dengan Perjanjian ‘Nominated Loan’ yang telah ditandatangani pada 29 September 2010 di antara Kerajaan Negeri dan SD Bank.
“Perjanjian ini menyatakan dengan jelas bahawa semua risiko kredit dan pinjaman dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri dan Pemberi Pinjaman (SDB) tidak akan menanggung sebarang risiko atau kerugian dalam keingkaran membayar balik dan pembayaran pinjaman atau mana-mana hutang yang timbul di bawah perjanjian tersebut di atas,” jelas Masidi.
Menurutnya, hapus kira hutang ini merupakan salah satu kaedah pemulihan NPL bagi meningkatkan kredibiliti SD Bank sebagai Institusi Kewangan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk meneruskan pembiayaan ke atas projek-projek di bawah Perjanjian Rangka Kerjasama Strategik bersama Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
“Penyelesaian ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari tahun 2024 sehingga selesai. Justeru itu, pembiayaan Kerajaan Negeri ini mampu meningkatkan keupayaan SD Bank dalam merancakkan pembangunan ekonomi di Negeri ini.
“Kerajaan Negeri yakin dengan lebihan pembiayaan ini, SD Bank berupaya untuk membiayai program pembangunan yang bermanfaat dari segi sosial dan ekonomi, melalui agensi- agensi kerajaan dengan kewangan yang kukuh,” tambah Masidi.