KOTA KINABALU Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM110 juta peruntukan khas bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibawah Belanjawan 2024 Negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid Jahim berkata peruntukan ini yang dikendalikan oleh kementeriannya digunakan ADUN untuk pelaksanaan projek-projek kecil luar bandar dan memberi bantuan dalam aspek kebajikan kepada rakyat yang diwakili di peringkat akar umbi.
“Ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri menekankan pembangunan yang lebih seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan kemakmuran negeri turut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya pada ucapan penggulungan Belanjawan 2024 Negeri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Jahid berkata bagi Program Pembasmian Kemiskinan, sebanyak RM14 juta peruntukan awal telah diperuntukkan kepada Kementeriannya.
Katanya bagi meningkatkan taraf hidup penduduk dan pembangunan di kawasanluar bandar, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM144.50 juta dan RM25.76 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah untuk tujuan peruntukan pembangunan dan perbelanjaan mengurus bagi tahun 2024.
Beliau yakin jentera pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri akan memastikan pelaksanaan program-program dan projek-projek pembangunan dalam Bajet 2024, seterusnya dapat memberi impak yang tinggi terhadap kemakmuran dan kesejahteraan rakyat bersesuaian dengan tema Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2024, iaitu “Sabah Teguh, Rakyat Terbela”.
Katanya tema bajet tersebut mencerminkan kesungguhan dan komitmenKerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri secara berterusan, berdaya mapan dan inklusif.
Beliau berkata Kementeriannya mengalu-alukan bajet lebihan atau surplusbudget ini dan menyokong sepenuhnya segala usaha yang dipelopori oleh Ketua Menteri untuk mendapatkan lebih banyak agihan hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dalam negeri ini sepertimana hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963.