KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat bermula dengan ‘panas’, hari ini, apabila pembangkang membangkitkan kejadian sekatan polis terhadap Ahli Parlimen untuk memasuki Parlimen pada 2 Ogos lalu.
Perkara itu dibangkitkan S N Rayer (PH-Jelutong) yang mahu mengetahui atas arahan siapa Ahli Parlimen tidak dibenarkan masuk ke Parlimen dan pendirian Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung isu itu.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam penjelasannya pula menyatakan beliau tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari berkenaan.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, tindakan yang diambil polis pada hari kejadian adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).