SANDAKAN: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Bahagia susulan insiden yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah awal pagi Ahad.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar yang memberi kesan mendalam kepada komuniti setempat.
Menurutnya, selain kehilangan tempat tinggal, ramai mangsa turut berdepan kesukaran dari segi keperluan asas.
“Dalam sekelip mata, mereka kehilangan segalanya. Ini memerlukan perhatian serius dan tindakan berterusan,” katanya.
Shafie menegaskan keperluan pendekatan bersepadu bagi memastikan bantuan bukan sahaja disalurkan segera, tetapi juga berterusan dalam tempoh pemulihan.
Beliau turut menggesa semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk memainkan peranan membantu mangsa.
