KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus hari ini membuat laporan polis terhadap tiga portal berita yang dianggapnya menyebarkan berita palsu dan fitnah mengenai Ahli Parlimen Bera itu.
Laporan itu dibuat Mohammad Anuar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 2.40 petang.
Mohammad Anuar berkata laporan polis itu merujuk kepada sebuah portal berita yang mengeluarkan laporan bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, rayu tarik sokongan’ semalam, dan diulang siar oleh dua portal lain pada hari sama.
“Berita ini adalah palsu dan kejadian dalam kenyataan itu berlaku ketika Perdana Menteri berada dalam satu majlis di Bera pada 29 Jan lepas.
“Pada sidang media itu juga, ketiga-tiga wartawan daripada portal itu tidak berada di lokasi dan telah memutar belit kenyataan sehingga menimbulkan kegusaran serta kredibiliti Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di hadapan IPD Dang Wangi di sini,hari ini.
Mohammad Anuar berkata pihaknya mahu Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap tiga portal berkenaan yang menurutnya dengan sengaja dan tidak beretika membuat laporan salah mengenai Perdana Menteri.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya mengesahkan menerima laporan itu.
— BERNAMA