Serangan pembangkang seperti ‘Boomerang’ kukuhkan kedudukan Hajiji dan GRS – Aksyah

KOTA KINABALU : Serangan berterusan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pemimpin pembangkang dan pengkritik dilihat semakin memakan diri dan hanya mengukuhkan lagi kedudukan beliau serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di mata rakyat.

Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, walaupun berada dalam bulan Ramadan dan Syawal yang sepatutnya menjadi masa memperkukuh ukhuwah, serangan politik terus dilontarkan terhadap Hajiji.

“Serangan ini menunjukkan pembangkang semakin terdesak dan gusar melihat kejayaan dan gerak kerja Ketua Menteri yang semakin tersusun serta mendapat sokongan rakyat.

“Ini adalah pertembungan antara dua sisi – putih yang membawa kebaikan dan pembangunan, dan hitam yang mencerminkan politik kebencian serta serangan tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aksyah turut mempertahankan kemampuan Hajiji dalam menggunakan bahasa Inggeris, menyifatkan kritikan terhadap kebolehan bahasa pemimpin itu sebagai remeh dan tidak berasas.

“Ramai pemimpin luar berbahasa ibunda mereka dan menggunakan penterjemah, namun Hajiji tidak memerlukan penterjemah dalam pertemuan rasmi.

“Apa yang ingin kita banggakan sebenarnya? Bahasa Melayu sendiri pernah menjadi lingua franca rantau ini,” katanya.

Menyentuh isu kelulusan lesen eksplorasi kepada syarikat Lincah Hebat Utama Sdn Bhd (LHUSB), Aksyah menjelaskan bahawa proses kelulusan dibuat mengikut peraturan, melalui penilaian teknikal dan keputusan sebulat suara Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Maju Sabah (SMM).

“Ini bukan keputusan semberono. Syarikat telah memohon sejak tahun 2019 lagi ketika era Warisan. Tidak ada satu sen dana kerajaan digunakan untuk eksplorasi ini,” tegasnya.

Dalam isu pelantikan Datuk James Wong sebagai Group General Manager (GGM) SEDCO pula, Aksyah menegaskan pelantikan tersebut berdasarkan merit dan kemampuan calon, bukannya perkauman atau peruntukan eksklusif kepada Bumiputera Sabah.

“James adalah anak jati Sabah yang mempunyai latar belakang korporat yang kuat dan berpotensi besar membantu memajukan sosio-ekonomi Bumiputera Sabah melalui kepimpinan beliau di SEDCO,” katanya.

Aksyah menzahirkan kebimbangan terhadap pendekatan pembangkang yang dilihat tidak berlandaskan fakta, sebaliknya membina naratif untuk mengelirukan rakyat.

“Saya risau, jika mereka memenangi PRN-17 atas dasar isu rekaan dan manipulasi politik, negeri ini akan mengalami kerosakan akibat tadbir urus yang lemah dan beremosi,” ujarnya.

Beliau turut memuji kepimpinan Hajiji berpengalaman lebih tiga dekad dalam politik, menyifatkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai agenda berkesan untuk membawa kemajuan kepada rakyat Sabah.

“Hanya dengan sokongan berterusan kepada GRS, kestabilan, kemajuan dan kebajikan rakyat dapat dijamin. Jangan terpedaya dengan racun politik pembangkang,” katanya.