PUTATAN : Sejumlah RM11.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program serta projek landskap tahun ini di seluruh Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur hijau demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, peruntukan ini selaras dengan inisiatif kepentingan kelestarian, keindahan persekitaran dan keseimbangan ekologi dalam pembangunan bandar dan luar bandar.
“Kita memahami keperluan peruntukan bagi PBT dalam usaha membangunkan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur hijau demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Selaras dengan inisiatif perancangan pembangunan landskap negeri Sabah, sebanyak RM11,150,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program dan projek landskap pada tahun ini,” katanya.
Teksnya disampaikan Pembantunya, Datuk Isnin Aliasnih.
Joachim berkata, program ini bukan sekadar simbolik penanaman pokok, tetapi merupakan agenda strategik yang menyumbang kepada sasaran jangka panjang pembangunan mampan dan ekonomi hijau.
“Sehingga Disember 2024, 331,151 pokok ditanam di bawah program ini, namun angka itu masih jauh dari sasaran 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033, diumumkan sejak pelancarannya pada tahun 2020.
“Semua PBT perlu mempergiatkan kempen penghijauan serta melaksanakan sendiri inisiatif penanaman pokok di kawasan masing-masing,” katanya.