Sektor pelancongan potensi tarik pelabur China datang ke Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Pelabur China mempertimbangkan peluang pelaburan membangunkan perniagaan hotel lima bintang, pusat peranginan butik serta produk pelancongan mewah di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini termasuk membangunkan perniagaan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (M.I.C.E) di negeri ini.

“Sekarang keadaan kembali normal kepada industri pelancongan, kerajaan Sabah melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah. China hanya antara tiga hingga lima jam perjalanan dari Sabah.

“Sehingga kini, Sabah dihubungkan dengan bandar-bandar utama – Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou dan Macau, antara lain di China dengan 63 penerbangan mingguan dan kapasiti tempat duduk 11,360,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berharap dapat melihat lebih banyak sambungan udara untuk meningkatkan ketibaan pengunjung ke Sabah.

Dalam tempoh sama Kerajaan Sabah mengusahakan strategi untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri, seperti pembangunan Taman Budaya Sabah dan pengenalan Program ‘Sabah My Second Home’.

Hajiji secara peribadi menggesa agar pelabur membincangkan penubuhan industri baharu bagi menarik potensi mereka datang ke Sabah.

“Kerajaan saya bersedia untuk melihat dasar yang dibuat khusus untuk industri baharu untuk pelabur yang sesuai,” jelas Hajiji.