KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen dari Sabah berkata ketidakseimbangan ekonomi menjadi faktor golongan muda dari negeri itu merantau mencari rezeki di Semenanjung, walaupun berdepan dengan apa yang didakwa sebagai diskriminasi.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majelis dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda merujuk insiden baru-baru ini berkenaan seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri yang didakwa menyerang seorang penghantar makanan.
“Hanya kerana dia (bercakap) dialek Sabah, dia disangka sebagai orang luar. Perkara yang paling menyakitkan orang Sabah adalah bila dia ditanya ‘kenapa bahasa kau lain?’ Anda tahu apa perasaan (bila berdepan pertanyaan itu)? Macam orang asing,” kata Munirah ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Munirah berkata beliau mengingatkan betapa sejak bersama-sama Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963, Sabah dan Sarawak telah memberi sumbangan besar kepada kemakmuran ekonomi negara menerusi sumber aslinya.
“Sabah ini tidak diiktirafkah? Hormati kami, walaupun kawan-kawan kami hanya pekerja peringkat rendah.
“Ingat ini – sejahtera Malaya hari ini kerana hasil bumi Sabah dan Sarawak. Tanpa Sabah dan Sarawak,tidak ada Malaysia,” tegasnya lagi.
Pada Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Nazron Abd Yusof dilaporkan berkata, siasatan sedang dibuat berhubung pergaduhan melibatkan dua individu, seperti yang dirakam dalam video tular minggu lalu.
Keesokannya, sebuah portal online melaporkan mereka telah saling memohon maaf namun siasatan tetap dibuat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan.