Sabah unik punyai 35 etnik bukti selaras slogan Malaysia Madani – Hajiji

SEMPORNA: Sabah mempunyai keunikan serta kepelbagaian seni dan budaya dengan 35 etnik membabitkan 217 sub etnik selaras dengan slogan Malaysia Madani.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ia sudah pasti mempunyai banyak khazanah seni dan budaya yang boleh diketengahkan serta dipromosikan sebagai produk pelancongan utama di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan serta membantu mempromosikan seni dan kebudayaan persatuan etnik yang terdapat di Sabah.

“Komitmen kerajaan negeri ini adalah usaha bagi memartabatkan lagi seni dan budaya di Sabah.

“Semua persatuan etnik diharap akan terus memelihara budaya mereka bagi memastikan ia tidak pupus dan boleh diwarisi generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Majlis Gemilang Budaya Bajau Merentas Dunia: Festival Melodi Warna Kebudayaan dan Seni Tradisi Bajau, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurut Hajiji, selaras dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu daripada tujuh keutamaan untuk dilaksanakan adalah memperkasakan Culture Pit-Stop (CPS) atau Program Hentian Budaya.

“Program ini adalah bagi membina dan menggalakkan industri pelancongan melalui aktiviti kebudayaan di setiap daerah seluruh Sabah.

“Justeru, Kerajaan sangat menggalakkan program seperti yang diadakan malam ini, sebagai usaha untuk memartabatkan seni dan budaya rumpun etnik Bajau di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, festival kesenian dan kebudayaan adalah elemen penting dalam menentukan kejayaan sesebuah bangsa serta dapat memupuk semangat perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“Tanpa kerja berpasukan, sesebuah tarian dan alunan muzik itu tidak dapat dipersembahkan dengan baik serta menarik perhatian orang ramai.

“Begitu juga dengan hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama memerlukan sikap bersatu padu untuk mencapai pembangunan kemajuan negeri ini,” jelas Hajiji.