KOTA KINABALU: Seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah kotak oleh Imam di hadapan Masjid al-Mawaddah, Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan nota yang ditinggalkan bersama bayi yang cukup sifat itu dilahirkan pada 31 Oktober lepas.
Katanya, individu yang meninggalkan bayi tersebut memohon maaf kerana tidak dapat menjaga bayinya atas faktor ketidakmampuan serta meminta supaya bayi tersebut dihantar ke rumah anak yatim.
“Pihak polis Kota Kinabalu telah membuka kertas siasatan di bawah seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes Inspektor Hatikah Ahmad di talian 016-8337246.