Mohd Rafi sambut baik keputusan Suhaili sokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar

LABUAN: Ketua Bahagian UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan menyambut baik keputusan Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) yang memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, UMNO Bahagian Labuan menyambut baik secara positif mengenai keputusan Suhaili dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang secara rasmi menyokong sepenuhnya Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu dengan kenyataan Suhaili yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan yang sedia ada iaitu Kerajaan Perpaduan akan kekal menerajui kerajaan untuk tempoh empat tahun akan datang…jadi tidak ada lagi istilah kononnya pihak pembangkang mahu mengambil alih kerajaan melalui tebuk atap 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pelancaran Program Sentuhan Kasih dan Sekretariat Veteran UMNO Labuan di sini, semalam.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata tindakan Suhaili dan seorang lagi rakannya iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar (PN) yang membuat keputusan yang sama sudah pasti cubaan pihak parti pembangkang daripada BERSATU dan PAS untuk mengambil alih kerajaan tidak akan berlaku.

“Dengan pendirian terbaharu dua Ahli Parlimen dari Kuala Kangsar dan Labuan yang mewakili PN membuktikan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini lebih stabil” katanya.

Mohd Rafi turut menjelaskan UMNO Bahagian Labuan tidak sedikit pun merasa goyah dengan perkembangan terbaharu Suhaili, ini kerana UMNO merupakan parti siasah yang sentiasa membantu rakyat tanpa menunggu masa pilihan raya.

“Saya juga telah mengarahkan semua kepimpinan parti baik di peringkat Bahagian mahupun diperingkat akar umbi untuk terus fokus bekerja membantu masyarakat tanpa menunggu pilihanraya,” kata Mohd Rafi.