LABUAN: UMNO Bahagian Labuan telah menyumbang lebih RM23,000 kepada Tabung Kemanusian Untuk Rakyat Palestin bagi membantu rakyat negara itu yang sedang ditindas oleh rejim Zionis ketika ini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan kepada Setiausaha Kelab Wanita Sejahtera Labuan Zuraimah Mohd Tahir pada Majlis Pelancaran Program Sentuhan Kasih Veteran UMNO Labuan di sini, semalam.
Tabung Kemanusiaan Untuk Rakyat Palestin dianjurkan oleh Kelab Wanita Sejahtera Labuan dengan kerjasama UMNO Bahagian Labuan.
Sementara itu, Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, sumbangan tersebut adalah hasil kutipan yang dilaksanakan oleh Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Sekretariat Veteran UMNO Bahagian Labuan.
“Sumbangan itu adalah sebagai tanda sokongan soladariti dan keprihatinan ahli-ahli UMNO Labuan untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat peperangan dan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Pada majlis itu beliau juga turut melancarkan Program Sentuhan Kasih yang diselaraskan oleh Sekretariat Veteran UMNO Labuan yang baharu sahaja ditubuhkan.
Mohd Rafi berkata, penubuhan Sekretariat Veteran UMNO itu antara lain bertujuan untuk membantu golongan veteran UMNO yang telah banyak berjasa, malah masih setia bersama UMNO sehingga kini walaupun keadaan kesihatan mereka ada yang dalam keadaan uzur.
“Ini lah peranan Sekretariat Veteran UMNO Bahagian Labuan untuk menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada ahli ahli UMNO golongan veteran yang memerlukan bantuan untuk membela nasib mereka.
“Jika dahulu mereka berjuang untuk membela nasib kita sehingga kita berjaya… dan hari ini kita pula harus membalas jasa mereka melalui Sekretariat Veteran UMNO yang kita wujudkan,” katanya.
Pada majlis itu, Mohd Rafi turut menyampaikan bantuan pentadbiran sebanyak RM10,000 kepada Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Sekretariat Veteran UMNO Bahagian Labuan.
Hadir pada majlis itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Khalid Ab. Ghani, Ketua Wanita UMNO Bahagian Niswati Tarji, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Saiful Pungut, Ketua Puteri Normeyati Jumat dan Pengerusi Sekretariat Veteran UMNO Bahagian.