“Sekiranya Wujud Kebimbangan Bawalah Ke Meja Rundingan, Selesaikan Secara Harmoni,” Kata Joniston

KOTA KINABALU : Ketenangan serta kesederhanaan dalam gabungan penting manakala sebarang kebimbangan dan ketidakpuasan hati tidak seharusnya dibiarkan menjejaskan perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, beliau percaya di bawah kepimpinan Pengerusinya,Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, perbezaan tersebut akan ditangani dengan penuh kematangan serta  saling menghormati.

Katanya, beliau percaya kepimpinan dalam GRS bukan hanya diukur melalui kekuatan politik, tetapi juga melalui keupayaan untuk mendengar, bertolak ansur dan bekerjasama walaupun dalam keadaan tidak sependapat.

“Pendekatan secara konstruktif adalah kunci untuk memastikan gabungan kekal kukuh dan fokus.

“Saya amat percaya bahawa semua parti komponen harus menangani apa jua isu dengan semangat perpaduan.

“Apa jua kebimbangan yang ada, bawalah ke meja rundingan dan selesaikannya secara harmoni,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Joniston merupakan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan komitmen PBS untuk memastikan GRS kekal berpaksikan perpaduan dan matlamat bersama.

“Sebagai anggota pengasas GRS, PBS mengiktiraf nilai yang dibawa oleh setiap komponen. Kepelbagaian kita adalah satu kekuatan dan ia harus dipandu oleh saling menghormati dan matlamat bersama.

“Wawasan kita untuk kemajuan Sabah mesti sentiasa mengatasi kepentingan peribadi atau parti. Itulah semangat di sebalik penubuhan GRS, dan semangat yang harus terus kita pegang.” jelas Joniston.

“Kita berharap semua parti komponen dapat mengamalkan sikap berhemah dan mengutamakan mekanisme dalaman bagi menyelesaikan sebarang pertikaian.

“PBS tetap teguh dengan prinsip perpaduan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama dalam GRS,” kata Joniston.