KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu menyegerakan tarikh Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk membolehkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti dapat dilaksanakan di negeri ini.
Exco Wira Warisan Malaysia, Reynold Valentine Chin, berkata sebelum ini Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sudah membuat kenyataan media untuk melaksanakan sidang khas apabila kabinet negeri bersetuju sidang khas diadakan.

Katanya, isu lompat parti ini sangat penting selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru- baru ini.
“Hanya cara meluluskan pindaan perlembangaan ini akan meningkatkan kembali kepercayaan rakyat Sabah terutama kalangan golongan muda menjalang Pilihan Raya Umum (PRU15) nanti.
“Perlu diingat warga belia akan menjadi pengundi rasmi dalam PRU15 akan datang. Langkah ini sudah tentu akan menjamin kestabilan politik di negeri kita, seperti diperjuangkan Parti Warisan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Reynold berkata, dalam tempoh terdekat ini kerajaan melalui Speaker DUN Sabah perlu menetapkan tarikh sidang khas agar isu ini dapat diselesaikan serta menjadi satu undang-undang yang berdaulat.
“Kita minta selepas ini tidak ada lagi sebarang isu berdolak-dalih dari mana-mana pihak untuk menangguhkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti ini,” katanya.
Menurutnya, fenomena
lompat parti ini begitu lama mengguris perasaan rakyat Sabah sekali gus terpaksa menunggu masa untuk menyelesaikan masalah ini.
“Kita di Sabah sangat terkenal dengan isu lompat parti… Pembentamgan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti adalah jalan penyelesaian terbaik untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.