Pelajar terharu terima sumbangan PAS Sandakan

SANDAKAN: Dua orang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Mesir terharu menerima sumbangan dari PAS Sandakan.

Mohd Nilwan Nulman dan Azlan Mohd Redzar, 23, bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas usaha PAS Sandakan yang telah datang ziarah dan membantunya.

Dua orang pelajar tersebut merupakan lepasan daripada Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah yang telah terpilih bagi melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir.

Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada pelajar tersebut kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Semoga pelajar ini dapat belajar bersungguh-sungguh agar suatu masa nanti memperolehi keputusan yang cemerlang dan balik ke tanah air menjadi legasi menyumbang bakti buat ummah,” kata Sahar.

Hadir sama dalam ziarah itu ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain, serta beberapa jawatankuasa PAS Sandakan.