TUARAN : Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menyerahkan 14 permohonan projek, termasuk 10 projek baharu bernilai RM702 juta di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula awal tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap permohonan SEDIA akan mendapat pertimbangan dan kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.
Beliau memuji SEDIA kerana mengekalkan rekod sijil tanpa teguran dari segi pengurusan kewangan daripada Ketua Audit Negara selama 15 tahun berturut-turut.
“Saya juga mahu agar pemantauan pelaksanaan semua projek di bawah kawalan SEDIA hendaklah dilakukan dengan kerap dan bersungguh-sungguh agar masalah-masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Hajiji merupakan Pengerusi SEDIA, berkata dalam tempoh dua tahun ini pihak berkuasa itu telah berjaya menjalankan penyelidikan dan persidangan mengenai sektor-sektor yang berpotensi untuk membangunkan aktiviti ekonomi Sabah.
“SEDIA, dengan pembiayaan daripada Kementerian Ekonomi, telah menyiapkan Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, yang menyediakan satu pelan strategik komprehesif untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan di kawasan sempadan di Sipitang, Nabawan, Kalabakan dan Tawau.
“Kawasan-kawasan ini terletak secara strategik berhampiran Kalimantan Utara, Brunei dan Sarawak. Sembilan sektor ekonomi berpotensi tinggi telah dikenal pasti,” jelas Hajiji.
Beliau berkata, sektor-sektor ekonomi itu termasuk pelancongan berasaskan komuniti, perikanan dan akuakultur, industri hiliran minyak sawit, biokimia, biofuel dan perdagangan rentas sempadan yang dijangkakan dapat meningkatkan Nilai Tambah Kasar kepada sumber sedia ada sebanyak 330 peratus kepada RM1.6 bilion dan membuka 10,660 peluang pekerjaan menjelang 2040.
Selain itu, satu kajian kebolehlaksanaan mengenai penternakan kerang berdarah yang dijalankan antara SEDIA dan Jabatan Perikanan Malaysia dan Sabah telah mengenal pasti beberapa lokasi di Tawau, Semporna, Tuaran, Kudat, Beluran dan Teluk Padas Beaufort.
“Projek Kerang Berdarah, yang merupakan pertama di Sabah, mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu lebih daripada 3,000 orang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerjasama yang dijalin antara SEDIA dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah dapat menilai dan membimbing 10 kajian tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Hajiji berkata Sabah juga telah dipilih sebagai medan ujian pengunaan dron pengangkutan penumpang dan kargo yang bakal dilakukan oleh SEDIA bersama FUTURISE Berhad, sebuah syarikat Kementerian Kewangan Malaysia, di lokasi sesuai yang sedang dikenal pasti.
Hajiji berkata SEDIA telah melaksanakan lebih daripada 1,275 projek sejak 2009 melalui RMK9 hingga ke RMK12.
Ketua Menteri berkata dalam tempoh itu, SEDIA telah diperuntukkan sejumlah RM3.8 bilion dengan RM3.1 bilion telah disalurkan dan lebih kurang 90 peratus atau RM2.8 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek-projek berimpak tinggi, people-centric, program pembasmian kemiskinan dan pembangunan modal insan.
“Melihat kepada inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan itu, saya mahu agar SEDIA dan agensi-agensi Kerajaan Negeri untuk sentiasa mencari rakan strategik supaya dapat meneroka bidang-bidang baharu yang berpotensi menjana pendapatan dan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.