Sekolah Integrasi Lahir Generasi Berilmu, Berakhlak Mulia – Musa

MEMBAKUT : Pendidikan bersepadu yang diterapkan di Sekolah Rendah Integrasi mampu melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, sekolah bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga medan untuk membentuk insan yang berakhlak, berdaya saing dan bersedia untuk memimpin ummah.

“Kita merasa bangga kerana Sekolah Rendah Integrasi Khalia Khan ini merupakan Sekolah kelima di Sabah dan menjadi Sekolah ke 230 di Malaysia yang menerima status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. 

“Kewujudan sekolah ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa dalam membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu duniawi tetapi juga kuat pegangan agamanya,” ujarnya.

Musa turut mengingatkan peranan guru dalam mendidik pelajar dengan penuh keikhlasan dan kesabaran bagi memastikan generasi muda berdaya saing dan berakhlak mulia. 

“Para pelajar harus menanam tekad bahawa ilmu yang diperolehi bukan hanya untuk kejayaan dunia, tetapi juga sebagai bekalan menuju akhirat,” kata.

Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Herwan Harun menerima sumbangan MUIS bagi Pengurusan Sekolah Rendah Integrasi (SRI) 2025 berjumlah RM70,000 yang disampaikan oleh Tun Musa manakala  Sumbangan Pengurusan Rumah Anak Yatim dan Tahfiz 2025 turut diserahkan kepada Pengasas Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, Datuk Gullam Hassan Yacob Khan bernilai RM240,000. 

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.