Secara Tradisinya, Timbalan Presiden Akan Melancarkan Jentera PRN Sabah – Razeef

KOTA KINABALU : Tradisi pelancaran Jentera Pilihan Raya kebiasannya akan disempurnakan oleh Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus merupakan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin menjelaskan pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah Sabtu lalu tidak pernah dibincangkan bersama kepimpinan negeri serta mengejutkan banyak pihak termasuk beliau sendiri.

Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui mengenai majlis tersebut sehinggalah poster acara mula tersebar hanya dua hingga tiga hari sebelum program berlangsung.

“Saya pun tidak tahu…..Walaupun saya pimpinan negeri dan ketua cabang, tidak ada sebarang makluman atau perbincangan di peringkat kami.

“Jadi apabila keluar poster itu, saya tanya Pengerusi Negeri, Datuk Mustapha Sakmud, sama ada pengarah pilihan raya dimaklumkan atau tidak, sebab ini berkaitan pelancaran jentera pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Razeef berkata, Mustapha hanya memaklumkannya keputusan pelancaran itu telah dibuat oleh Biro Politik parti.

“Namun Razeef menegaskan bahawa walaupun keputusan dibuat oleh Biro Politik, ia seharusnya dibincangkan dengan kepimpinan negeri agar segala gerak kerja dapat disusun dengan baik, termasuk soal mobilisasi dan aturcara.

“Isu semakin panas bila Rafizi memaklumkan beliau tidak dimaklumkan tentang program tersebut walaupun beliau adalah Pengarah Pilihanraya dan Timbalan Presiden parti.. Malah tidak ada dibincang dalam mesyuarat Biropol pusat,” kata Razeef.

Menurutnya, peringkat akar umbi mula mempersoalkan pelaksanaan program ini dikatakan dilakukan secara tergesa-gesa dalam tempoh pemilihan parti.

“Akibatnya Nurul Izzah Anwar dan Amirudin Shari dituduh menunggang MPN Keadilan Sabah dan menggunakan program untuk berkempen;

“Di media sosial, akar umbi juga mempersoal pelaksanaan pelancaran jentera sedangkan selepas pemilihan peringkat cabang masih banyak cabang belum melengkapkan jawatankuasa cabang terutama baru menang kali pertama,” jelasnya.

Razeef berkata, beliau meminta supaya jangan lagi dikaitkan Program Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Sabah dengan Pemilihan Keadilan 2025 atau dikaitkan dengan mana-mana kem dalam pemilihan kali ini.

“Di Sabah kami membuka ruang demokrasi seluasnya kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang boleh membantu parti ini di Sabah.

“Dalam tempoh sama PKR Sabah akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) dalam tempoh terdekat,” katanya.