KOTA KINABALU : Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan 2 juta keanggotaan kesatuan sekerja di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang lebih inklusif berkuat kuasa sejak September lalu.
Katanya, ini membolehkan kesatuan sekerja ditubuhkan dengan minimum tujuh keahlian seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerja untuk bergiat aktif dalam gerakan kesatuan.
“Sehingga 31 Disember 2024, seramai 1.03 juta pekerja telah menyertai kesatuan dan dengan pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) yang diperkasa tahun ini.
“Kita yakin jumlah sasaran 2 Juta ahli akan dapat dicapai menjelang hujung 2025 ini,” katanya.
Teksnya dibacakan wakilnya Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, di sini semalam.
Steven berkata, sehingga tahun ini kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan dan jumlah tersebut adalah yang tertinggi dalam sejarah pelaksanaannya.
“Daripada jumlah itu, RM7.15 juta melibatkan 551 permohonan yang telah diluluskan termasuk 48 permohonan dari Zon Sabah bernilai RM500,500.
“Sementara itu, baki RM2.85 juta digunakan untuk pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan outreach,” jelasnya.
Menurutnya, ini bertujuan memperluas kesedaran serta pendidikan berkenaan faedah kesatuan sekerja dalam kalangan pekerja terutamanya golongan muda.