TAWAU : Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membalas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir sekali gus menyifatkan reaksi beremosi pemimpin UMNO itu sebagai tanda kegelisahan terhadap kebenaran yang didedahkannya.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kenyataan Suhaimi yang menyerangnya secara peribadi membuktikan wujud kegagalan untuk membezakan antara fakta dan sentimen politik lapuk.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada atuk Suhaimi Nasir kerana masih sempat memerhatikan pergerakan saya.
“Ternyata nama saya cukup kuat untuk memanggil beliau keluar dengan nada marah-marah dan penuh emosi, satu tanda bahawa kebenaran itu, walau pahit, tetap mengganggu ketenangan mereka yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam.
Beliau menyifatkan gesaan Suhaimi agar beliau ‘bercermin diri’ sebagai tidak lebih daripada retorik politik, sambil menyindir bahawa “cermin yang digunakan mungkin retak” sehingga hanya menampakkan “bayang-bayang dendam politik lama”.
Nizam meeupqkan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu, beliau tidak pernah menafikan penglibatannya dalam kerajaan terdahulu, malah tidak berselindung tentang rekod perkhidmatannya.
“Bezanya, saya tidak muncul selepas dua dekad diam lalu mendakwa suci seperti kain putih. Saya terus bekerja dan kekal bersama rakyat, bukan hanya menjelma apabila ingin menabur persepsi,” katanya.
Mengulas dakwaan Suhaimi yang mengaitkan beliau dengan parti Umno, Nizam menegaskan bahawa pemikiran seperti itu adalah warisan politik usang yang menganggap jawatan sebagai hasil belas ihsan parti, bukannya mandat rakyat.
“Saya doakan beliau cepat pulih daripada perangkap nostalgia itu,” tambahnya.
Nizam turut menegur Suhaimi kerana menyerang dirinya secara terbuka tetapi pada masa sama tersasul menyentuh rakan-rakan kabinet kerajaan negeri sekarang yang turut terlibat dalam usaha memperbetulkan kesilapan pentadbiran lampau.
“Ini adalah contoh meludah ke langit yang paling tepat,” katanya sinis.
Beliau juga sekali lagi mengulangi persoalan yang sehingga kini belum dijawab sepenuhnya oleh pihak-pihak berkaitan, iaitu berhubung dana RM7.5 bilion yang sepatutnya digunakan bagi membangunkan kemudahan asas di Sabah ketika era pemerintahan UMNO.
“Soalan ini masih belum dijawab tuntas, dan setakat ini hanya dijawab dengan emosi, bukan data,” tegas beliau.
Menurut Nizam, Sabah tidak memerlukan ahli politik yang cepat tersinggung apabila dikritik, sebaliknya memerlukan pemimpin yang sanggup bekerja dalam diam dan menjawab kritikan dengan hasil, bukannya retorik dan sindiran.
“Akhir kata, saya ucapkan selamat maju jaya kepada Suhaimi. Jika benar beliau dan kepimpinan UMNO Sabah hari ini mahu berubah dan tidak lagi terbeban dengan dosa-dosa lama, maka mulakanlah dengan menyumbang, bukan menyerang.
“Seandainya ingin berdrama, pastikan skripnya logik dan wataknya tidak bercanggah,” katanya.
Kenyataan pedas itu dikeluarkan susulan kenyataan Suhaimi baru-baru ini yang menyeru Nizam untuk melihat semula sumbangan dan peranannya dalam pentadbiran kerajaan negeri, serta mengingatkan agar tidak melupakan jasa UMNO dalam membentuk kerjaya politiknya.