Sayap Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat semakin diterima dengan keahlian mencecah lebih 50,000

KOTA KINABALU: Sayap Pergerakan Beliawanis telah berjaya merekodkan keahlian seramai 52,000 sepanjang lebih kurang tujuh bulan pewujudannya dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang berkata, rekod keahlian itu membuktikan sayap Beliawanis semakin diterima dan dipercayai oleh kelompok wanita muda di negeri itu.

Sayap Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat semakin diterima dengan keahlian mencecah lebih 50,000.

“Jika momentum ini berterusan, saya yakin sayap pergerakan beliawanis ini akan menjadi platform pilihan utama dalam agenda pemerkasaan wanita muda di Sabah tidak kira di kawasan-kawasan pedalaman mahupun di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Sayap Beliawanis yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini

Katanya, sayap yang baru sahaja diwujudkan itu juga ingin melahirkan generasi wanita muda yang celik politik dan berdaya kempimpinan tinggi.

“Ini selaras dengan arus pemerkasaan wanita yang semakin hari semakin lantang disuarakan oleh wanita muda di seluruh dunia,” tegasnya.

Emmie pada masa sama turut yakin bahawa sayap itu akan menjadi platform pilihan utama dalam agenda pemerkasaan wanita muda di Sabah tidak kira di kawasan-kawasan pedalaman mahupun di bandar.

“Dalam kesibukkan kita mengejar jumlah keahlian, janganlah kita leka dan beranggapan bahawa semuanya okay sahaja, tidak sama sekali rakan-rakan sekalian. Jika kita melihat analisa terkini, kaji selidik di Malaysia menunjukkan bahawa anak-anak muda dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun sudah muak dengan politik di negara kita.

“Kurangnya pengetahuan serta kesedaran tentang politik mereka sangat ketara apabila undi mereka dipengaruhi oleh keluarga atau kenalan-kenalan terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Emmie berkata, pimpinan sayap parti itu menyeru semua ahli untuk bersama-sama pimpinan parti dan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti langkah intervensi yang sebaiknya bagi mengatasi masalah pengangguran khususnya di negeri ini.

“Sebagai contohnya, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk tahun 2023 bagi melaksanakan pelbagai program dan projek terutamanya berkaitan pembangunan wanita di Negeri Sabah.

“Kita perlu pastikan agar komposisi wanita muda juga tidak keciciran di dalam program-program yang telah dirangka ini berlandaskan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Ramai lagi wanita-wanita muda di luar sana yang masih tidak cakna berkaitan peluang untuk mereka menceburi sektor perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, Emmie juga mahu program Beliawanis di peringkat bahagian dan cawangan dapat dilaksanakan dan terkait sama dengan program bersifat ilmiah, pembentukan jati diri serta perkongsian pengalaman bagi memastikan wanita-wanita muda ini mendapat panduan dan bimbingan yang diperlukan.