Salur peruntukan disediakan di bawah RMK12 kepada Kerajaan Negeri – Bung

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat kelmarin sebagai komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah Sarawak dengan Semenanjung.

Katanya, peruntukan lebih RM9 bilion iaitu RM4.66 bilion untuk Sabah dan RM4.47 bilion untuk Sarawak, adalah berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama dan ini selaras dengan semangat Keluarga Malaysia bagi mengurangkan jurang pembangunan demi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak dapat menikmati pembangunan secara saksama.

“Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah sudah tentu saya mengalu-alukan RMK12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang secara jelas memberikan fokus kepada Sabah dan Sarawak dari setiap sudut untuk merapatkan jurang pembangunan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi sebagai mengulas pembentangan RMK12.

Kata Bung, rakyat di negeri ini bukan sahaja memerlukan pembangunan dari segi infrastruktur asas, bahkan juga pendapatan tinggi serta peluang pekerjaan, peluang menyertai program keusahawanan dan industri serta pelbagai lagi.

“Kita berharap pelaksanaan RMK12 khususnya di Sabah dapat berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan sebarang karenah birokrasi yang perlu dielakkan bagi memastikan RMK12 dapat di realisasikan demi kesejehteraan rakyat,” katanya.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut mengingatkan agensi pelaksana untuk melihat Sabah dari perspektif yang berbeza dari negeri-negeri lain dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri ini.

“Kita sudah mempunyai pelan yang baik di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk rakyat Sabah tetapi strategi pelaksanaan ke akar umbi melalui agensi pelaksana perlu diperincikan lagi,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung turut mencadangkan agar peruntukan yang disediakan dapat diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk diselaraskan oleh jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan untuk pelaksanaanya yang lebih memahami demografik rakyat Sabah dan keutamaan keperluan rakyat di lapangan.

“Jika cadangan ini sukar untuk dilaksanakan, kita perlu ada jawatankuasa pemantauan bersama antara Kerajaan Pusat dan Negeri untuk memastikan pelan pelaksanaan infrastrutur yang dilaksanakan mencapai sasaran dan memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini,” jelas Bung.

Dalam pada itu, Bung menyambut baik usaha kerajaan untuk mentransformasi kawasan luar bandar dengan membina dan menarik taraf 2,800 km jalan raya dimana antaranya, Jalan Dudar – Taburan – Mendawang, Kota Belud dengan kos sebanyak 101 juta bukan sahaja dapat menyediakan sistem perhubungan yang lebih baik dan selesa namun usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.

“Walaupun dalam RMK12 tidak disebut peruntukan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo khususnya di Sabah, Kerajaan Negeri turut meletakkan harapan agar cadangan yang dikemukakan olehnya sebelum ini, agar projek ini dilaksanakan secara inisiafif pembiayaan swsata (PFI), diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Pusat bagi membantu mempercepatkan lagi proses tranformasi luar bandar di negeri ini sekali gus dapat melonjakkan taraf siso ekonomi rakyat,” katanya.

Berikutan dengan masalah bekalan air bersih yang semakin kritikal di negeri ini, Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berharap Kerajaan Pusat dapat mengagihkan peruntukan yang mencukupi untuk meningkatkan akses kepada air bersih kepada rakyat di negeri ini, antaranya membina infrastruktur baharu bagi perkhidmatan air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai dan loji rawatan air sebagai mana yang terkandung dalam Pelan Induk Bekalan Air di Sabah yang memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan.