650 kilogram diagihkan kepada petugas barisan hadapan – LKIM

TUARAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengagihkan 650 kilogram ikan beku serta ikan segar kepada pasukan kakitangan barisan hadapan di Hospital Tuaran di sini kelmarin.

Pengarahnya, Sundralingam A/L Nagaiah berkata, program ini sebagai langkah menghargai jasa serta pengorbanan yang dilakukan barisan hadapan dalam menguruskan pesakit COVID-19 di hospital tersebut.

Sundalingam (tengah) menyampaikan sumbangan ikan segar beku kepada Home Tuaran. Gambar ehsan LKIM Sabah.

Katanya, pengagihan sumbangan ini diperluaskan ke beberapa kawasan yang dikenalpasti secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi harian kakitangan barisan hadapan.

“Hari ini LKIM bersama pihak lain mengagihkan sumbangan ikan segar serta beku kepada Rumah Anak Yatim (Home Tuaran) sebagai langkah membantu untuk mengurangkan kos operasi yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta COVID-19,” katanya kepada SabahNewsToday hari ini.

Hadir sama dalam program ini, Pengarah Hospital Tuaran, Dr. G. Mohan A/L Gopal Naidoo serta Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn.Bhd, Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun.

Ketika diminta mengulas mengenai QFISH Ikan Segar Beku Sundralingam berkata, QFish merupakan ikan segar yang diproses menggunakan teknologi IQF (Individual Quick Freezing) sekali gus dijual pada harga munasabah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri ini.

“LKIM Sabah melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) merancang pelbagai cara bagi mempromosikan serta menjual ikan QFish kepada orang ramai khususnya di kawasan pedalaman.

“LKIM memilih kawasan pedalaman selepas mendapati ikan segar sukar diperoleh di sana selain dilihat mendapat permintaan yang tinggi sekali gus berpotensi untuk dapat dipromosikan secara meluas pada masa akan datang,” katanya.

Dalam masa sama LKIM memperkenalkan Program Program Jualan Prihatin Rakyat (PJPR) bertujuan mempromosikan ikan segar dan segar beku (QFish) sebagai sumber protein yang berkualiti kepada rakyat.

“Sambil menawarkan harga munasabah QFish mampu meningkatkan kesedaran pengguna mengenai aspek pengendalian ikan terutamanya ikan segar beku seterusnya meningkatkan permintaan terhadap ikan segar beku QFish yang diselia LKIM,” katanya.

Sundralingam menambah, program ini diadakan seluruh negara termasuk di negeri Sabah melibat 27 program PJPR akan dilaksanakan tahun ini melibatkan Wilayah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.