KOTA KINABALU: Kompleks Perikanan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) yang sudah mencapai 42 tahun sejak penubuhannya pada 5 Februari 1982 memerlukan perubahan selaras dengan perkembangan semasa.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Jeffery Kitingan berkata, keadaan dan kemudahan kompleks SAFMA tidak banyak perubahan sejak kewujudannya.
Katanya usaha untuk membuat perubahan perlu dilakukan semasa Kerajaan ini, kerana di era kemajuan berteknologi tinggi dan digital, industri perikanan khususnya, harus menerima pakai kaedah dan kemudahan yang moden seiring dengan teknologi semasa.
“Beberapa penekanan yang harus dilaksanakan pada tahun terdekat ini dengan apa jua cara.
“Bagi menjayakan usaha perikanan laut dalam ini, fasiliti-fasiliti yang menyokong ke arah tersebut harus diwujudkan, antaranya ialah pelabuhan atau kompleks pendaratan ikan bersepadu,” katanya pada lawatan ke Kompleks Perikanan SAFMA, hari ini.
Menurutnya berdasarkan kepada data pendaratan ikan di negeri Sabah pada tahun 2022, Kota Kinabalu menjadi penyumbang terbesar iaitu melebihi 70,000 tan, diikuti oleh Semporna lebih 30,000 tan dan seterusnya Tawau dengan 29,000 tan.
Katanya lebih 80 peratus jumlah pendaratan di Kota Kinabalu dilakukan di Jeti Pendaratan Perikanan SAFMA Kota Kinabalu, menjadikannya sebagai penyumbang terbesar pendaratan ikan di negeri Sabah.
“Namun dengan usia jeti yang melebihi 40 tahun, keupayaan fizikal dan kemudahan-kemudahan yang ada sudah menyusut dan menghampiri pusingan hayatnya.
“Kerajaan tidak membiarkannya begitu sahaja. Dalam inisiatif Sabah Maju Jaya untuk SAFMA, projek-projek menaik taraf kemudahan sedia ada seperti Loji Ais, Ruang Memproses dan Bilik Sejuk telahpun dilaksanakan,” katanya.
Jelasnya, walaupun pencapaian sektor perikanan negeri Sabah telah melebihi sasaran Tahap Sara Diri (SSL) 100 peratus, tidak ada infrastruktur, kompleks atau jeti perikanan moden yang menggambarkan atau menyokong pencapaian tersebut.
Menurutnya, jika kemudahan-kemudahan itu diwujudkan, pencapaian SSL akan melonjak berlipat kali ganda dan Sabah pasti muncul sebagai pengeluar ikan laut utama di Malaysia.
Jeffery berkata, usaha Kerajaan Negeri memperkasakan bidang Ekonomi Biru, khususnya perikanan, berkait rapat dengan fokus kerajaan untuk melestarikan keterjaminan makanan.
“Kejayaan Ekonomi Biru ini dijangka akan dapat memperkayakan lagi sumber ikan sekaligus merancakkan lagi aktiviti-aktiviti memproses, pengeluaran produk-produk hiliran dan meluaskan kawasan pemasaran,” katanya.
Mengenai pemasaran, Jeffery mencadangkan supaya SAFMA mewujudkan pusat-pusat pemasaran dengan meningkatkan keupayaan logisitik di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar mendapat bekalan ikan seperti di Ranau, Keningau dan Tambunan.
Menurutnya, penduduk di kawasan-kawasan tersebut amat berharap pihak SAFMA dapat memasarkan bekalan ikan segar dan murah walaupun jenis ikan rakyat seperti ‘basung’atau ‘lumahan’.
Selain produk sejuk beku, beliau juga menyarankan kepada SAFMA untuk menceburi bidang produk hiliran kerana sebagai pusat pendaratan ikan, tidak timbul masalah kekurangan sumber untuk produk-produk yang dikeluarkan.
“Selain produk baja, SAFMA boleh cuba mengeluarkan produk makanan berasaskan ikan untuk haiwan seperti kucing dan lain-lain, yang belum lagi diterokai sepenuhnya di Sabah.
“Manfaat daripada pengeluaran produk ini bukan sahaja akan diperolehi SAFMA malah akan dinikmati industri haiwan peliharaan di negeri Sabah,” katanya.
