KOTA KINABALU : Sabah menjadi tuan rumah bagi ‘Program Borneo International Island Big Bike Festival (BIIBBF) kali ke-22 menjelang pada Ogos depan.
Presiden Sabah Big Bikers Association (SBBA), Datuk Osman Ahmed berkata, program ini bakal menghimpunkan peserta dari Negeri Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia.

Katanya, ini merupakan satu penghargaan kepada negeri Sabah sebagai tuan rumah sekali gus merupakan program terbesar yang sangat dinanti-nanti pengemar motosikal berkuasa tinggi di kepulauan Borneo.
“BIIBBF merupakan festival motosikal berkuasa tinggi terbesar di seluruh Kepulauan Borneo yang menyatukan penggemar-penggemar motosikal berkuasa tinggi di Kepulauan Borneo, nusantara dan antarabangsa.

“Negeri Sabah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi festival ini merupakan acara yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua pengemar BIIBBF ini sekali gus dilihat mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perutusan pertamanya selepas dipilih menjadi Presiden SBBA pada Mesyuarat Agung Tahunan sesi 2024-2026.
Osman berkata, program ini merupakan salah satu kaedah atau pendekatan baharu, untuk memberikan informasi sejarah kepada masyarakat Sabah dan Borneo amnya.

“Kita akan memastikan penganjuran kali ini, peserta akan didedahkan berkaitan keunikkan masyarakat berbilang kaum di Sabah sambil memaparkan dengan kepelbagaian budaya dan agama.
“Sambil tidak ketinggalan kita sudah merancang beberapa lokasi dimasukkan dalam program ini bagi memastikan peserta akan menimbah pengalaman baharu khususnya ketika mengikuti program BIIBBF di negeri Sabah,” jelas Osman.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menekankan agar semua ahli disarankan agar mengikuti kursus kecekapan dalam sukan permotoran sebagai persediaan menjadi marshal mengiring motorsikal berkuasa tinggi di masa depan.