Sabah terima RM22.75 juta dana EFT untuk pemuliharaan biodiversiti

KOTA KINABALU:  Sabah menerima dana sebanyak RM22.75 juta daripada kerajaan persekutuan melalui inisiatif Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.

Dana itu disampaikan oleh Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu, hari ini.

Menurut Hajiji, dengan penyaluran terbaharu itu, jumlah keseluruhan dana EFT yang diterima Sabah sejak 2019 kini mencecah RM126.36 juta.

“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan kerajaan persekutuan terhadap dasar pemuliharaan alam sekitar kerajaan negeri yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan berterusan kerajaan persekutuan bagi memastikan usaha pemuliharaan biodiversiti di Sabah dapat diperkukuhkan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta penyelarasan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan Sabah.

Langkah itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi karbon dapat dimanfaatkan secara optimum oleh kerajaan negeri.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Nor Yahati Awang bersama beberapa pegawai kanan kementerian.