Sabah Softwoods sasar keuntungan RM90.9 juta tahun depan – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) Sabah menyasarkan mampu mengutip RM90.9 juta anggaran keuntungan pada tahun 2022.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, ini berdasarkan harga purata minyak sawit mentah (CPO) RM3,500 satu tan metrik malah  keuntungan boleh melebihi RM100 juta seperti pada tahun 2021, jika purata harga CPO melepasi harga semasa.

Katanya, SSB perlu diberikan pujian berikutan mampu mengaut pulangan serta keuntungan sekali gus membantu Kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah dalam melaksanakan rancangan untuk kepentingan rakyat.

“Kita menggesa Ahli Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Sabah Softwoods Berhad (SSB) untuk meneruskan kerja baik mereka bagi mencapai keputusan lebih tinggi melalui kawalan kos, kepelbagaian pasaran serta mampu menerokai sesuatu yang baharu untuk meningkatkan lagi prestasi semasa.

“Sehingga kini pegangan 70 peratus dimiliki Innoprise Corporation Sdn Bhd, sebagai cabang pelaburan dan syarikat induk Yayasan Sabah membabitkan perniagaan teras SSB termasuklah kayu, kelapa sawit, pengilangan serta pengeluaran serpihan serbuk kayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berharap SSB akan memanfaatkan peluang daripada Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) yang dilancarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) pada awal Oktober lalu.

“Ini petanda baik untuk pembangunan masa depan industri minyak sawit dan saya menjangkakan bahawa FEPO akan memainkan peranan penting dalam pembangunan masa depan industri minyak sawit di Sabah,” katanya.

Menurutnya, lebih banyak perniagaan serta peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan industri minyak sawit, termasuk pengangkutan, kemudahan penyimpanan, ukur kualiti serta aktiviti hiliran lain di peringkat global dijangka diwujudkan dengan FEPO.

“FEPO akan didagangkan oleh peserta antarabangsa, boleh berfungsi sebagai platform pemasaran untuk mempromosikan produk berkaitan sawit Sabah dan mampu menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Hajiji menambah, pengeluaran negeri sebanyak 4.65 juta tan metrik minyak sawit mentah pada tahun 2020 menjadikan Sabah  menduduki tempat sebagai negeri pengeluar minyak sawit terbesar mewakili 24 peratus bahagian pasaran dari segi pengeluaran di peringkat nasional.