Wanita maut manakala tiga lagi cedera parah

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala dua rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan kereta ketika melawan arus di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Hadapan Dewan Kebudayaan, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Florenni Dominic, 28 memandu kereta Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua penumpang kereta itu serta pemandu kereta Perodua Alza lelaki berusia 30 tahun cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk menerima rawatan lanjut.

Semantara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati ketika Perodua Alza dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan dari arah Tuaran menghala ke Penampang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu Perodua Alza melihat kereta Perodua Kancil dipandu mangsa bersama dua penumpang datang dari arah bertentangan secara melawan arus.

“Dalam keadaan yang terkejut dan cuba mengelak ke kiri jalan namun disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkan perlanggaran berlaku.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang memandu Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jo berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HQE I, dan sampel darah mangsa akan diambil ketika bedah siasat dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol.

“Siasatan masih diteruskan dan meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.