Sabah sedia inisiatif budi, bantu pelajar B40 lanjut pelajaran ke IPT

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memberi komitmen penuh untuk membantu para pelajar dari negeri itu melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi inisiatif Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata menerusi inisiatif BUDI, pelajar Sabah khususnya daripada golongan B40 dan bakal melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda akan diberikan bantuan tunai RM2,000 secara sekali bayar.

Beliau berkata kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam usaha melahirkan generasi berilmu yang memiliki kepakaran dan berkemahiran tinggi bagi memacu kemajuan negeri.

Dalam program anjuran Jabatan Pendidikan Sabah itu, Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah dan menyuarakan rasa bangga atas pencapaian cemerlang pelajar-pelajar berkenaan, serta berharap mereka akan meneruskan pelajaran sehingga ke tahap lebih tinggi sekali gus menyumbang bakti kepada kepada bangsa, agama dan negara.

Tahun lepas daripada 7,409 calon STPM di Sabah, 72 calon berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 manakala 7,330 calon lagi mendapat lulus penuh atau 98.93 peratus.

Selain inisiatif BUDI, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) RM200 secara sekali bayar kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

— BERNAMA