Sabah rekod satu lagi kluster baharu jangkitan komuniti di Sipitang

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti iaitu Kluster Kampung Melaman di Sipitang, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 negeri itu berkata kluster berkenaan mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap tujuh sekeluarga di Klinik Sindumin pada 9 Julai, selepas tiga hari mengalami demam, sakit kepala dan sakit sendi.

“Kes indeks merupakan tutor wanita berumur 17 tahun yang mengajar di rumah keluarga terbabit dan bergejala serupa sejak 26 Jun lepas tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata sebanyak 286 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,136 kes, dengan terdapat empat kes kematian dilaporkan masing-masing di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Seramai 284 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif 70,183 orang, manakala seramai 2,079 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 425 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (1,612 orang) dan 42 lagi di pusat tahanan sementara atau penjara, katanya.

— BERNAMA