Perketatkan pemeriksaan di pintu masuk atasi penyebaran COVID-19

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan jumlah kenaikan kes penularan baharu pandemik COVID-19 di negeri ini.

Beliau menegaskan pihak penguatkuasa perlu memperketatkan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk bagi mengatasi masalah penyebaran virus.

“Ketika ini, keadaan di Sabah sudah cukup membimbangkan. Sejak pertengahan Mei hingga bulan ini, Sabah telah mencatat tiga angka dalam rekod jangkitan harian. Pada  4 Julai hingga 13 Julai ( 8 hingga 11 Julai) Kota Kinabalu menduduki tempat pertama dalam bilangan rekod jangkitan harian.

“Janganlah kita memburukkan lagi keadaan. Kita sedang mengalami cabaran dalam visi untuk mencapai peratusan vaksinasi yang disasarkan sebanyak 60 peratus menjelang September nanti di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menyerahkan bakul bantuan makanan kepada penduduk di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api mengulas berkaitan laporan media berkaitan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Christina menerima sebanyak 200 bakul makanan daripada Ahli Parlimen Kota Kinabalu untuk diedarkan di tiga kawasan Dun membabitkan Api-Api, Luyang dan Tanjung Aru.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PKR Sabah Mustapha  Sakmud serta Pegawai Perhubungan DUN Api-Api, Grace Lee.