KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor tiba di sini hari ini bersama pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Sabah untuk lawatan satu hari bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada dengan Sarawak.
Dalam lawatan sulungnya ke Kuching sebagai Ketua Menteri Sabah, Hajiji mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg buat kali pertama selepas beliau mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri itu pada Disember lalu.

Hajiji berkata, selain secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Abang Johari atas kejayaan mendapatkan mandat yang jelas untuk menerajui kerajaan, lawatan itu juga bertujuan meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.
“Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah dan perjuangan. Oleh itu, terdapat banyak sinergi untuk dimanfaatkan untuk kebaikan kita bersama.
“Sebagai ahli dalam Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kami telah bekerjasama secara padu untuk mendesak kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963, pada tahun lalu,” katanya.
Dalam mesyuarat itu yang turut dihadiri anggota Kabinetnya, Abang Johari berkongsi pandangannya mengenai beberapa perkara termasuk hubungan negeri-Persekutuan, keperluan untuk kestabilan politik, hak Sarawak dan pendirian bersama yang boleh diambil oleh Sarawak dan Sabah dalam mendapatkan hak negeri.
Hajiji berkata beliau dan Abang Johari bukanlah asing, kedua-duanya telah lama berkawan dan rakan sekerja, berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dalam kerajaan terdahulu.