KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew memuji langkah AirAsia mengembalikan semula laluan Kota Kinabalu-Jakarta pada 6 Februari.
Beliau berkata ia adalah tindakan yang tepat pada masanya, memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan ke luar negara, berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia untuk pelancong dari semua negara pada April 2022, dan memandangkan perayaan Tahun Baharu Cina akan datang di mana orang ramai boleh memilih untuk bercuti ke luar negara.
“Kami mengalu-alukan penerbangan sulung AirAsia dari Jakarta ke Kota Kinabalu selepas wabak, dan ambil perhatian bahawa ini adalah penerbangan antarabangsa kesepuluh syarikat penerbangan itu ke Sabah. Kami difahamkan kekerapan penerbangan adalah tiga kali seminggu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
AirAsia dijadualkan terbang dari Jakarta ke Kota Kinabalu pada 12.15 tengah hari (waktu Jakarta) pada 6 Februari, dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 3.55 petang (waktu Sabah).