KOTA KINABALU : Usaha menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif terus diambil bagi memelihara dan memperkasa warisan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Penglima Hajiji Noor berkata, ia penting bagi memastikan khazanah budaya terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Katanya, dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting memastikan budaya tempatan agar kekal relevan.
“Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi penjaga warisan yang akan mencorakkan masa depan negeri ini.
“Pemeliharaan warisan budaya penting untuk memastikan kesinambungan identiti, nilai dan tradisi sesebuah masyarakat.
“Oleh itu, saya berharap Persatuan etnik di negeri ini akan terus
membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus begitu sahaja,” katanya di sini semalam.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, Hari Etnik bukan saja platform untuk memperkenalkan khazanah warisan etnik yang ada di negeri ini tetapi ia juga medan penting dalam memperkukuhkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum serta memupuk rasa bangga terhadap warisan masing-masing.
“Semangat muhibah dalam kepelbagaian adalah tunjang utama kekuatan rakyat di
negeri ini.
“Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar belakang etnik atau agama,” jelas Hajiji.