KUALA LUMPUR: Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir yang menjejaskan 73 orang penduduk manakala kesemua mangsa di empat negeri kekal setakat malam ini.
Kelantan pula mencatatkan peningkatan mangsa banjir.
Sebanyak enam kampung di Kota Marudu, SABAH dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan paras air di dua sungai di daerah itu naik dan berada pada paras waspada.
Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kota Marudu, kampung terbabit ialah Kampung Asin-Asin, Kampung Beliajung, Kampung Tingkalanon, Kampung Tongkungon, Kampung Taritipan dan Kampung Morion.
Berikutan itu, seramai 73 mangsa daripada 17 keluarga dari Kampung Beliajung ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang di Dewan Sekolah Kebangsaan Teritipan setakat 8 malam ini.
Kenyataan itu memaklumkan dua jalan turut terjejas akibat banjir tersebut dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan iaitu Jalan Langkon Pitas berdekatan Kampung Asin-Asin serta Jalan Tingkalanon, Kampung Marion.