TUARAN : Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-PH Plus komited memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan kampung-kampung di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, semua wakil rakyat di Sabah perlu melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di luar bandar.
Katanya, keterlibatan pemimpin akar umbi dapat membantu menyediakan perancangan pembangunan yang lebih teratur, terselaras serta memenuhi keperluan sebenar rakyat.
“Ini termasuklah menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai agenda dan pelan pembangunan negeri ini.
“Hala Tuju SMJ adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim.
Hajiji berkata, kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah merupakan keutamaan kerajaan menerusi salah satu teras dalam Hala Tuju SMJ.
“Pelaksanaan Rumah Mesra SMJ sangat bertepatan sekali, untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.
“Selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi di Hala Tuju SMJ, kerajaan juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan tersebut, iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat termasuk memastikan mereka mempunyai rumah.
Menurutnya, bantuan Rumah Mesra SMJ dilancarkan pada tahun 2022, membabitkan pembinaan 1,500 buah Rumah Mesra SMJ secara percuma untuk golongan miskin dan miskin tegar khususnya yang tersenarai dalam sistem e-kasih dan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri di 73 kawasan DUN di Sabah.
“Saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan sama sekali.
“Semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas.
“Perpaduan dan kerjasama antara JKKK juga perlu dipelihara dan ditingkatkan untuk menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan,” jelas Hajiji.