KOTA KINABALU: Sabah membelanjakan sebanyak RM1.479 bilion atau 28.15 peratus agihan peruntukan RM5.254 bilion membabitkan 1,098 projek dalam Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 12 Jun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu dilihat tidak begitu jauh daripada prestasi nasional yang kini sudah mencapai 36.80 peratus.
Katanya, beliau mahu semua kementerian serta agensi memberi perhatian dalam memastikan projek pembangunan dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual supaya dapat mengatasi prestasi di peringkat nasional.
“Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan ini digunakan sebagai satu platform untuk berkongsi maklumat bagi membincangkan jalan penyelesaian kepada isu-isu pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
“Perkara (penyelarasan) ini penting agar kita tahu di kawasan yang terbabit dalam pembinaan projek PPRT di negeri ini. Ia penting kerana keperluan untuk rumah PPRT di Sabah amat banyak. Justeru, saya meminta kepada pihak yang berkaitan agar memberi tumpuan kepada keperluan rumah PPRT di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di sini hari ini.
Hajiji berkata,beliau difahamkan 710 rumah PPRT akan dibina pada tahun ini di Sabah berbanding jumlah keperluan adalah sebanyak 2,000 unit.
Mengenai sebanyak 69 projek sakit di Sabah, Hajiji mahu agensi atau jabatan terbabit memberi perhatian serius terhadap perkara ini.
“Kita meminta mereka agar tidak melengahkan projek daripada kerajaan Persekutuan dan beri kerjasama yang sepatutnya kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital, semuanya adalah untuk rakyat.
“Jika pembayaran lambat, kita akan usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah, tindakan perlu diambil. Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada Persekutuan.
“Ini bagi mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Hajiji berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) mengambil langkah proaktif menganjurkan Makmal Sifar Projek Sakit pada 7 hingga 9 Jun bagi mengenalpasti penambahbaikan bagi melancarkan pelaksanaan projek.
“Platform ini digunakan untuk menentukan penyelesaian terhadap masalah atau isu pelaksanaan projek-projek pembangunan.
“Semasa makmal ini berlangsung, Jabatan Audit Negara telah membentangkan analisis penemuan keberkesanan pelaksanaan projek Kerajaan dan salah satu projek yang berada dalam analisis penemuan audit adalah Projek Penaiktarafan Keretapi negeri Sabah.
“Ini kerana kawasan pembinaan (landasan keretapi Halogilat ke Tenom) mempunyai isu topografi serta kejadian tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan banjir.Isu-isu tersebut tidak diambil kira semasa meluluskan peruntukan projek dan ini menunjukkan kelemahan perancangan projek,” katanya.
Hajiji berkata projek yang sepatutnya telah siap pada tahun 2019 ini hanya mencapai peratus siap 99.5% sehingga September 2021 setelah mengambil kira lima (5) EOT atau lanjutan tempoh masa (748 hari).
Mengenai pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan, Ketua Menteri sekali lagi meminta ia perlu diberi keutamaan.
“Saya ingin menegaskan dalam mesyuarat ini agar perkara ini perlu diberi keutamaan,” katanya.